Boleh Ke Tak Gantung Ayat Al-Quran Pada Dinding Rumah?
Jul 10, 2020

Kini, hampir setiap rumah, pejabat, premis perniagaan memiliki hiasan dinding seni khat ayat Al-Quran. Bila terpandang secara tidak langsung tergerak hati kita untuk membaca apa yang tertulis pada hiasan dinding tersebut.

Di Jiham sendiri, kami menerima banyak soalan yang sama, adakah boleh menggantung Ayat Al-Quran pada dinding rumah dan pejabat? Ustaz Azhar Idrus ada berkongsi mengenai perkara ini disosial media beliau.

Gantung Ayat Al-Quran Pada DInding Rumah

Soalan:

Adakah harus menggantung ayat – ayat atau surah – surah tertentu dari Al-Quran pada dinding rumah?

Jawapan:

Meletakkan ayat – ayat atau surah – surah dari Al-Quran pada dinding rumah seperti yang dapat dilihat oleh masyarakat Islam hari ini ada perselisihan ulamak padanya. Setengah ulamak mengharuskannya dengan syarat memeliharanya dan memuliakannya, manakala setengah ulamak memakruhkannya.

Tersebut pada kitab Al-Hindiyah:

Ertinya: “Dan jikalau ditulis akan Al-Quran di atas dinding dan tembok, maka berkata setengah ulamak : Diharapkan bahawa hukumnya adalah harus manakala setengah mereka itu memakruhkan yang demikian itu kerana khuatir jatuh ia pada kaki – kaki manusia.” (Jilid 5 M.S 323)

Dan tersebut pada himpunan fatwa Negeri Oman:

Ertinya: “Harus menulis ayat – ayat Al-Quran atas dinding atau memahatnya atasnya atau gantungnya sebagai tatapan awam akan tetapi wajib bahawa memuliakanya dan menghormatinya, dan juga dipelihara dari disia – siakan atau direndah – rendahkannya.

Dan wajib bahawa tiada diletakkan bersama benda yang kotor kemudian dari rosaknya. Ini adalah kerana firman Allah Taala:

Ertinya: “Yang demikian itu maka barang siapa yang memuliakan akan syiar – syiar Allah maka sesungguhnya ia adalah tanda hati yang taqwa.” (Al-Haj:32)

Kesimpulan

Kami di jiham cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus menggantungkan ayat-ayat suci Al-Quran dan juga kalimah-kalimah seperti Allah S.W.T dan Muhammad S.A.W pada dinding di dalam rumah dan sebagainya berdasarkan dawabith (syarat) yang berikut:

  1. Mestilah digantung di tempat-tempat dan juga kawasan yang baik, bersih dan terhindar dari kotoran najis serta digantung dengan baik (tidak mudah jatuh) bagi mengelakkan jatuhnya pada kaki manusia.
  2. Ia juga mestilah digantung bukan bagi tujuan penghinaan atau mencari keberkatan namun sebagai peringatan.
  3. Jangan berlebih-lebihan dalam perbuatan ini sehingga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.

Justeru, menjawab kepada persoalan yang diajukan, jika dengan menggantung kalimah suci Al-Quran dan seumpamanya atas televisyen itu menyebabkan berlakunya penghinaan ataupun ia bercanggah dengan tujuan penggantungannya, iaitu mengingatkan diri kepada Allah S.W.T di samping bagi menghiasi dinding dengan seni tulisan khat, maka ia seharusnya dielakkan dan sebaiknya digantung kalimah tersebut berdasarkan dawabith yang telah kami senaraikan di atas. Akhir kalam, semoga Allah memberkati kehidupan kita semua, memberikan kita kekuatan dan keikhlasan dalam beribadah kepadaNya, moga Allah menetapkan hati kita, menguatkan keimanan, memberikan petunjuk dan kefahaman.

Wallahua’lam.

Entri Lain-lain

Pilihan Produk Terkini