Boleh Ke Tak Gantung Ayat Al-Quran Pada Dinding Rumah?

Boleh Ke Tak Gantung Ayat Al-Quran Pada Dinding Rumah?

Kini, hampir setiap rumah, pejabat, premis perniagaan memiliki hiasan dinding seni khat ayat Al-Quran. Bila terpandang secara tidak langsung tergerak hati kita untuk membaca apa yang tertulis pada hiasan dinding tersebut.

Di Jiham sendiri, kami menerima banyak soalan yang sama, adakah boleh menggantung Ayat Al-Quran pada dinding rumah dan pejabat? Ustaz Azhar Idrus ada berkongsi mengenai perkara ini disosial media beliau.

Gantung Ayat Al-Quran Pada DInding Rumah

Soalan:

Adakah harus menggantung ayat – ayat atau surah – surah tertentu dari Al-Quran pada dinding rumah?

Jawapan:

Meletakkan ayat – ayat atau surah – surah dari Al-Quran pada dinding rumah seperti yang dapat dilihat oleh masyarakat Islam hari ini ada perselisihan ulamak padanya. Setengah ulamak mengharuskannya dengan syarat memeliharanya dan memuliakannya, manakala setengah ulamak memakruhkannya.

Tersebut pada kitab Al-Hindiyah:

Ertinya: “Dan jikalau ditulis akan Al-Quran di atas dinding dan tembok, maka berkata setengah ulamak : Diharapkan bahawa hukumnya adalah harus manakala setengah mereka itu memakruhkan yang demikian itu kerana khuatir jatuh ia pada kaki – kaki manusia.” (Jilid 5 M.S 323)

Dan tersebut pada himpunan fatwa Negeri Oman:

Ertinya: “Harus menulis ayat – ayat Al-Quran atas dinding atau memahatnya atasnya atau gantungnya sebagai tatapan awam akan tetapi wajib bahawa memuliakanya dan menghormatinya, dan juga dipelihara dari disia – siakan atau direndah – rendahkannya.

Dan wajib bahawa tiada diletakkan bersama benda yang kotor kemudian dari rosaknya. Ini adalah kerana firman Allah Taala:

Ertinya: “Yang demikian itu maka barang siapa yang memuliakan akan syiar – syiar Allah maka sesungguhnya ia adalah tanda hati yang taqwa.” (Al-Haj:32)

Kesimpulan

Kami di jiham cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus menggantungkan ayat-ayat suci Al-Quran dan juga kalimah-kalimah seperti Allah S.W.T dan Muhammad S.A.W pada dinding di dalam rumah dan sebagainya berdasarkan dawabith (syarat) yang berikut:

  1. Mestilah digantung di tempat-tempat dan juga kawasan yang baik, bersih dan terhindar dari kotoran najis serta digantung dengan baik (tidak mudah jatuh) bagi mengelakkan jatuhnya pada kaki manusia.
  2. Ia juga mestilah digantung bukan bagi tujuan penghinaan atau mencari keberkatan namun sebagai peringatan.
  3. Jangan berlebih-lebihan dalam perbuatan ini sehingga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.

Justeru, menjawab kepada persoalan yang diajukan, jika dengan menggantung kalimah suci Al-Quran dan seumpamanya atas televisyen itu menyebabkan berlakunya penghinaan ataupun ia bercanggah dengan tujuan penggantungannya, iaitu mengingatkan diri kepada Allah S.W.T di samping bagi menghiasi dinding dengan seni tulisan khat, maka ia seharusnya dielakkan dan sebaiknya digantung kalimah tersebut berdasarkan dawabith yang telah kami senaraikan di atas. Akhir kalam, semoga Allah memberkati kehidupan kita semua, memberikan kita kekuatan dan keikhlasan dalam beribadah kepadaNya, moga Allah menetapkan hati kita, menguatkan keimanan, memberikan petunjuk dan kefahaman.

Wallahua’lam.

Panduan Lengkap Solat Terawih Dirumah

Panduan Lengkap Solat Terawih Dirumah

Penularan wabak Covid-19 yang berlaku ketika ini berkemungkinan besar tidak membolehkan kita menunaikan solat berjemaah di surau atau masjid. Ini termasuklah solat sunat tarawih yang biasa kita lakukan seperti tahun sebelumnya.

Di Dubai, Mufti Besar Arab Saudi, Abdul Aziz bin Abdullah bin Mohammed Al El-Sheikh itu telah membuat kenyataan Solat Tarawih dan Aidilfitri akan dilakukan di rumah jika wabak penyakit COVID-19 berlanjutan sebagai langkah pencegahan penyebaran virus.

Namun itu bukanlah halangan untuk kita tidak menunaikannya. Kita boleh saja menunaikan solat sunat tarawih yang banyak ganjaran pahala ini di rumah secara sendirian atau berjemaah bersama ahli keluarga.

Pengertian Solat Terawih

Terawih, membawa maksud beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan secara berselang-seli dengan berehat dalam tempoh singkat. Ia hanya dilakukan pada bulan Ramadhan.

Hukum Solat Terawih

Mengerjakan solat terawih ditakrifkan sebagai sunat muakkad – iaitu amalan atau perkara yang amat dituntut dilakukan pada bulan Ramadhan. Ramai yang berpusu-pusu ke masjid atau surau untuk menunaikan solat terawih secara berjemaah. Ada juga yang melakukannya di rumah secara sendirian atau bersama keluarga.

Kedua-dua kaedah ini dibolehkan, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak kecil, lebih elok dilakukan di rumah supaya tidak mengganggu jemaah lain.

Sesiapa yang melakukan solat malam (Tarawih) pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” Hadis Riwayat Muslim

Bilangan rakaat

Bilangan rakaat Solat Sunat Tarawih yang biasa dilakukan Rasulullah SAW adalah 11 rakaat; terdiri dari 8 rakaat solat Tarawih dan 3 rakaat Solat Sunat Witir. Jumlah ini dipilih oleh kebanyakan umat Islam Malaysia.

Niat solat tarawih

Solat Tarawih Bersendirian

Lafaz niat solat sunat tarawih secara bersendirian ialah:

Usolli sunnatal tarawih rak’ataini lillahi taala

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Taala.

Solat Tarawih Berjemaah (Makmum)

Niat solat sunat tarawih secara berjemaah (sebagai makmum) adalah seperti berikut:

Usolli sunnatal tarawih rak’ataini makmuman lillahi taala

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

  • Niat ini perlu dibaca sebelum setiap kali mengangkat takbir.
  • Oleh itu, jika anda ingin mengerjakan solat sebanyak lapan rakaat, maka niat perlu dibaca sebanyak empat kali.

Bacaan solat sama seperti solat fardhu

Rukun solat sunat tarawih adalah sama seperti rukun solat solat fardu atau solat sunat yang lain. Jika terdapat beberapa beberapa bacaan tambahan di antara solat sunat tarawih ini, ia bukanlah rukun atau syarat. Tetapi ia hanyalah semata-mata untuk mengambil peluang untuk memperbanyakkan zikir, tasbih, selawat dan doa dalam bulan Ramadan yang mulia.

Pemilihan surah

Tiada penetapan khas untuk surah yang perlu dibaca dalam solat sunat tarawih. Anda boleh membaca mana-mana surah kegemaran anda yang diingati. Pendek atau panjang terpulang.

Namun sebagai panduan, boleh saja membaca surah-surah biasa berikut selepas Al-Fatihah,:

Rakaat 1 & 2 : Surah at-Takatsur (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)

Rakaat 3 & 4 : Surah Al-Asr (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)

Rakaat 5 & 6 : Surah Al-Humazah (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)

Rakaat 7 & 8: Surah Al-Fiil (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)

Biasanya selepas selesai 4 rakaat, kita akan membaca doa terlebih dahulu sebelum mengerjakan 4 rakaat yang terakhir. Doa tersebut adalah seperti di bawah:

Doa Antara Tarawih (Selepas 4 Rakaat)

Allahumma inna nas aluka ridho ka wajannah wa na u’zubika min sahotika wannar. Allahumma innaka ghofur karimun tuhibbul afwa fagfu anna wa an jami’il muslimina wal muslimat, birahmatika ya arhamarrohimin.

Maksudnya: Ya Allah, kami meminta redha-Mu dan syurga dan kami berlindung denganMu daripada kemurkaanMu dan api neraka. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Mulia, Engkau sangat suka memaafkan maka maafkanlah kami dan seluruh kaum Muslimin dan Muslimat. Dengan rahmatMu Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Solat sunat witir 3 rakaat (dua salam)

Menjadi kebiasaan di negara kita solat sunat witir akan didirikan selepas selesai solat sunat tarawih. Solat witir dilakukan sekurang-kurangnya satu rakaat, sekurang-kurangnya bagi had yang sempurna ialah tiga rakaat (dua salam).

Lafaz niat Solat Witir

Untuk bahagian solat sunat witir yang dua rakaat niatnya adalah:

Usolli sunnatal witri rak’ataini lillahi taala

Maksudnya: Sahaja aku solat witir dua rakaat kerana Allah Taala

Untuk bahagian solat witir yang satu rakaat lafaz niatnya ialah:

Usolli sunnatal witri rak’atan lillahi taala

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala.

Doa selepas solat witir

Selesai tiga rakaat solat sunat witir maka lengkaplah solat sunat tarawih. Semoga kita beroleh ganjaran mengerjakannya pada bulan Ramadan nanti.

Sumber: akuislam.com, Berita Harian, Vanilla Kismis

HUKUM MENGGANTUNG KALIMAH ALLAH DAN MUHAMMAD DI DALAM MASJID

HUKUM MENGGANTUNG KALIMAH ALLAH DAN MUHAMMAD DI DALAM MASJID

SOALAN:

Assalamualaikum wrm wbt,

Apakah hukum menggantung nama Nabi SAW bersebelahan nama Allah SWT dan kaitannya dengan surah Al Jinn 72:18 ?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrm wbt,

بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Kami cenderung untuk menyatakan harus hukumnya menggantung kaligrafi lafaz Jallalah – Allah SWT – dan nama Nabi Muhammad SAW di dinding atau selainnya dengan syarat:

Kalimah-kalimah itu digantung dengan keadaan memuliakan seperti meletakkannya di tempat yang tinggi.
Hendaklah penggantungan itu dilakukan dengan seminimum mungkin risiko untuk kalimah-kalimah itu terjatuh kerana itu adalah tanda penghinaan.
Kami juga berpendapat harus juga meletakkan kalimah Allah sejajar dengan kalimah Muhammad, tanpa dibuat dengan niat untuk mengagungkan kalimah Muhammad lebih daripada kalimah Allah. Ini kerana kalimah Allah dan Muhammad itu ditulis di dalam al-Quran di dalam satu ayat, seperti dalam Surah Ali Imran ayat ke-144, al-Ahzab ayat ke-40, dan al-Fath ayat ke-29, dan tiada ulama sejak dahulu sehingga sekarang yang menegah cara penulisan sejajar atau di bawah kerana mengikut turutan ayat. Sekali pun begitu, adalah afdal bagi mengelakkan sangkaan buruk sebahagian masyarakat, untuk digantung kaligrafi lafaz Jallalah, yakni kalimah Allah, lebih tinggi daripada kalimah Muhammad.

Berhubung dengan Surah al-Jin ayat ke-18, Allah SWT berfirman:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

Imam Ibn Jarir al-Tabari menukilkan di dalam Jami` al-Bayan (23/665) riwayat Qatadah berkenaan sebab nuzul ayat ini ialah bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani apabila memasuki gereja dan sinagog, mereka melakukan syirik kepada Allah Taala, lalu Allah mengarahkan Nabi-Nya untuk menyeru kepada tauhid kepada-Nya semata-mata.

Imam Ibn `Asyur pula di dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (29/240) menyatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada orang Musyrikin yang suka meletakkan berhala dan patung-patung sembahan di Kaabah sedangkan yang layak di sembah di sana hanyalah Allah semata-mata.

Kami berpendapat ayat ini tidak ada kaitan secara langsung dengan larangan menggantung kalimah Nabi Muhammad SAW di dalam masjid atau di mana pun kerana semua maklum bahawa Nabi Muhammad SAW bukanlah untuk disembah tetapi baginda adalah Utusan Allah. Justeru, menggantung kalimah Muhammad tidak langsung mendatangkan kesyirikan kepada orang yang melihat dan membacanya kecuali orang-orang yang takalluf dan was-was, yakni mereka yang suka mencari-cari perkara yang akan memberatkan pengamalan agama.

Justeru, kami berpandangan bahawa menggantung kalimah Allah dan Muhammad pada satu tempat adalah harus dan ayat 72:18 itu tidak ada kena mengena dengan hukum tersebut.

Wallahua’lam.

Mufti Wilayah Persekutuan