HUKUM MENGGANTUNG KALIMAH ALLAH DAN MUHAMMAD DI DALAM MASJID
Nov 23, 2019

SOALAN:

Assalamualaikum wrm wbt,

Apakah hukum menggantung nama Nabi SAW bersebelahan nama Allah SWT dan kaitannya dengan surah Al Jinn 72:18 ?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrm wbt,

بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Kami cenderung untuk menyatakan harus hukumnya menggantung kaligrafi lafaz Jallalah – Allah SWT – dan nama Nabi Muhammad SAW di dinding atau selainnya dengan syarat:

Kalimah-kalimah itu digantung dengan keadaan memuliakan seperti meletakkannya di tempat yang tinggi.
Hendaklah penggantungan itu dilakukan dengan seminimum mungkin risiko untuk kalimah-kalimah itu terjatuh kerana itu adalah tanda penghinaan.
Kami juga berpendapat harus juga meletakkan kalimah Allah sejajar dengan kalimah Muhammad, tanpa dibuat dengan niat untuk mengagungkan kalimah Muhammad lebih daripada kalimah Allah. Ini kerana kalimah Allah dan Muhammad itu ditulis di dalam al-Quran di dalam satu ayat, seperti dalam Surah Ali Imran ayat ke-144, al-Ahzab ayat ke-40, dan al-Fath ayat ke-29, dan tiada ulama sejak dahulu sehingga sekarang yang menegah cara penulisan sejajar atau di bawah kerana mengikut turutan ayat. Sekali pun begitu, adalah afdal bagi mengelakkan sangkaan buruk sebahagian masyarakat, untuk digantung kaligrafi lafaz Jallalah, yakni kalimah Allah, lebih tinggi daripada kalimah Muhammad.

Berhubung dengan Surah al-Jin ayat ke-18, Allah SWT berfirman:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

Imam Ibn Jarir al-Tabari menukilkan di dalam Jami` al-Bayan (23/665) riwayat Qatadah berkenaan sebab nuzul ayat ini ialah bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani apabila memasuki gereja dan sinagog, mereka melakukan syirik kepada Allah Taala, lalu Allah mengarahkan Nabi-Nya untuk menyeru kepada tauhid kepada-Nya semata-mata.

Imam Ibn `Asyur pula di dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (29/240) menyatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada orang Musyrikin yang suka meletakkan berhala dan patung-patung sembahan di Kaabah sedangkan yang layak di sembah di sana hanyalah Allah semata-mata.

Kami berpendapat ayat ini tidak ada kaitan secara langsung dengan larangan menggantung kalimah Nabi Muhammad SAW di dalam masjid atau di mana pun kerana semua maklum bahawa Nabi Muhammad SAW bukanlah untuk disembah tetapi baginda adalah Utusan Allah. Justeru, menggantung kalimah Muhammad tidak langsung mendatangkan kesyirikan kepada orang yang melihat dan membacanya kecuali orang-orang yang takalluf dan was-was, yakni mereka yang suka mencari-cari perkara yang akan memberatkan pengamalan agama.

Justeru, kami berpandangan bahawa menggantung kalimah Allah dan Muhammad pada satu tempat adalah harus dan ayat 72:18 itu tidak ada kena mengena dengan hukum tersebut.

Wallahua’lam.

Mufti Wilayah Persekutuan

[]