• English
  • Malaysia(MYR RM)
Gallery Jiham is now operating as usual. [Mon-Fri, 9AM - 6PM] [Sat, 9AM - 1PM] Gallery Jiham is now operating as usual. [Mon-Fri, 9AM - 6PM] [Sat, 9AM - 1PM]
/ /

KALIGRAFI ISLAM LAMBANG KESENIAN

Aug 05,2023 | Nuraini

Islam adalah agama yang amat menganjurkan perkembangan kesenian Islam.  Seni dalam Islam dilihat sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan terhadap ciptaan Allah S.W.T serta sebagai wahana untuk mengungkapkan nilai-nilai spiritual. Seni Islam merupakan satu daya usaha atau daya cipta serta sebuah fikiran umat Islam terdahulu dan kini untuk menghasilkan suatu seni atau hasil tampak yang halus dan bermutu tinggi.

Islam memainkan peranan yang besar dalam pembentukan kesenian di Malaysia serta berupaya untuk mencorakkan tradisi ke arah yang lebih hakiki dan mempunyai nilai-nilai yang murni. Islam adalah agama yang tidak melarang umatnya menikmati keindahan selagi ia tidak bertentangan dengan larangan-larangannya. Hal ini demikian kerana, keindahan juga merupakan satu ciri untuk melambangkan keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu sendiri zat yang Maha Indah. Dalam satu Hadith Nabi ada menyebut: 

 

🌸🌸🌸

"Sesungguhnya Allah Maha Indah dan Ia sukakan keindahan". 

                                                                (Hadith Muslim: 147) 

 

Dalam Islam, keindahan seni dapat dilihat dengan jelas menerusi kaligrafi atau kata lain yang lebih sinonim ialah "seni khat". Kaligrafi secara umumnya didefinisikan sebagai seni penulisan Islam indah yang menggunakan huruf-huruf arab untuk menciptakan karya-karya seni yang memiliki nilai estetika tinggi.  Kaligrafi dianggap sebagai satu bentuk yang paling dihargai dan mendapat penghormatan yang tertinggi. Kaligrafi sebagai kesenian Islam, mempunyai asas yang amat kukuh iaitu akidah, akhlak dan syarak.

Dalam konteks kaligrafi, sumbernya tinggi sekali iaitu wahyu daripada Allah S.W.T yang terdiri daripada kalam suci Al-Quran dan juga Al-Hadis. Tidak dinafikan, seni kaligrafi ini merupakan salah satu bidang kesenian yang amat diminati oleh orang Islam dan terus berkembang yang menjadi bahagian penting dari warisan seni. 

 

 

Seni kaligrafi Islam menggunakan pelbagai gaya tulisan yang elegan untuk menciptakan karya-karya yang pelbagai. Lazimnya, karya kaligrafi sering digunakan sebagai hiasan untuk menunjukkan keindahan dari seni tulisan ini. Kaligrafi Islam digunakan untuk menghiasi masjid, dinding rumah dan sebagainya. Hal ini menjadikan kaligrafi sebagai lambang kesenian yang mengagumkan dan berharga dalam tradisi seni dunia. 

Comment

Name
Email
Comment